Sabar

Kita selalu sahaja mendengar perkataan sabar. Apabila dihina oleh kawan-kawan, Hati kita akan berkata sabar . Apabila terpaksa menunggu berjam-jam lamanya pun kita perlu sabar. Kalau tidak kerana sabar mungkin banyak perkara yang tidak diingini berlaku. Tapi pernah ke kita menghayati makna sabar dengan sebenarnya. 

Buat pengetahuan semua, sabar dari sudut bahasa ialah menahan. Dari sudut istilah pula, sabar membawa maksud kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila munculnya sesuatu. Selain itu sabar adalah suatu kekuatan atau daya yang menghalangi seseorang untuk melakukan kejahatan.

DALAM sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:“Apabila telah Aku berikan musibah kepada salah seorang hamba-Ku pada badannya,hartanya, atau anaknya, kemudian dia menerimanya dengan sabar yang sempurna, Aku merasa malu untuk menegakkan timbangan baginya pada hari kiamat atau membukakan buku catatan amal ibadahnya.”(HR. Dailami, Al Hakim dan Tarmizi)

Semuanya ini sebagai lukisan bahawa secara kiasan Allah SWT menerima apa yang dilakukan oleh hamba yang sabar dan beramal soleh dengan sambutan yang baik dan memberikan kurnia keredhaan kepadanya.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al - Muddathir, ayat 7 maksudnya: Dan bagi Tuhanmu, hendaklah kamu bersabar. Ini adalah antara ayat al-Quran yang terawal telah Allah turunkan kepada Nabi Muhammad menerangkan betapa Islam mementingkan sifat sabar dalam diri setiap Muslim.

Kita dituntut sabar dalam melaksanakan perintah agama seperti menuntut ilmu, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat, mengerjakan puasa dan sebagainya. Sabar juga dituntut dalam menjauhi larangan agama seperti berzina, mencuri, menipu, mengharapkan pertolongan dari tangkal, mendekati ilmu sihir dan sebagainya.

Sebagai seorang pelajar , kita sering sahaja dipenuhi dengan tugasan, tak kira lah tugasan apapun  yang menuntut kita membahagikan masa dengan sebaiknya agar segalanya berjalan lancar. Bagi diri aku sendiri, kadangkala homework juga aku fikir menjadi suatu beban buat aku .Sebolehnya aku cuba elakkan. Kalau waktu lapang , dunia terasa begitu menyeronokkan. Boleh lah aku 'berchatting' dan berinstagram bagai sepanjang masa.Tapi apabila memikirkan tanggungjawab aku sebagai pelajar dan aku sedar tentang kewajipan menuntut ilmu,aku tabah dan sabarkan jua hati untuk melakukan apa yang diberikan oleh cikgu. Kalau tidak buat semua tu , alamatnya failed lah aku.

Apabila seseorang itu menghadapi banyak cubaan dan penderitaan itu dengan redha, ikhlas dan mencari jalan keluar dengan cara yang baik , tidak mengeluh, tidak gelisah dan sebagainya, Insyaallah , Allah SWT akan memudahkan baginya urusan hisabnya di hari akhirat. Allah akan segera membalas segala pahalanya, memberkati kehidupannya sehingga timbangannya tidak berat kepada kejahatan, tetapi akan berat kepada ketaatan dan pahala, yang kesudahannya akan masuk syurga.

Berkenaan dengan sifat sabar, Allah telah menyebutkan di dalam Al Qur’an tidak kurang dari lapan puluh kali, dalam bermacam bentuk, untuk menunjukkan betapa tinggi nilai dan keutamaanya.

Banyak orang yang menyangka, bahawa sabar bererti merendahkan diri dan penyerahan kepada keadaan, membiarkan diri hanyut dalam keadaan itu, atau menghentikan usaha tanpa ikhtiar mencari jalan keluar yang baik tanpa memperbaiki dan menguatkan amal perbuatan dan berlaku redha terhadap apa yang terjadi biar bagaimanapun bentuk dan macamnya.

P/s : Sesungguhnya, sabar itu memang penyelamat keadaan. Jadi nasihat saya kepada semua orang , jangan mudah mempunyai perasaan yang amarah dan bengang bila masalah datang menimpa. Banyak-banyakkanlah bersabar kerana sabar itu memberi ruang kepada kita untuk berfikir dan bertindak sewajarnya. Wallahhualam.

3 comments: